Saturday, October 24, 2009

SISTEM KUARANTIN: SELANGKAH KE DEPAN, 3 LANGKAH KE BELAKANG!

Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud

23/11/2006: Sesetengah dari kalangan kita berpendapat bahawa membina pasukan debat dan mengharapkan kemenangan segera adalah tidak sukar! Pada mereka asalkan kita mempunyai satu bakat yang baik; suara yang lantang, sindiran yang tajam, ngauman yang menikam, bidasan yang berkesan.. puitis bahasanya, gagah semangatnya, perkasa persembahannya.. maka kita serahkan kepada yang seorang ini untuk membentuk pasukan sendiri! Pilihlah siapa sahaja yang diingininya untuk bersama-sama dalam pasukannya. Tidaklah pelik kalau anda melihat terdapat universiti yang membenarkan pendebat senior, atau yang dikira kanan dan ternama memilih sendiri anggota pasukannya. Pendebat tua seperti ini selalu akan memilih “pak angguk” sahaja ke dalam pasukan. Memilih pendebat muda yang tidak berpengalaman, atau yang agak berpengalaman tetapi bersedia mengangguk sahaja kepada segala arahannya khususnya dalam pembentukan kes pasukan. Dengan itu kekuatan, nama, glamour pendebat tua tidak akan tercemar, sekurang-kurangnya buat seketika. Tidaklah juga menghairankan kalau kita melihat terdapat universiti yang muka-muka pendebatnya tidak berubah, sejak zaman berzaman, dekad berdekad. Bukan tidak boleh, bukan tidak manis, tetapi dimanakah pertimbangan dunia yang dijunjung sebagai dunia intelek ini??! Tetapi kalau situa langsung tidak berguna, atau tidak menyumbang kepada peningkatan kualiti debat atau nama universiti yang diwakilinya, untuk apa lagi ia dipertahankan. Lebih memalukan, terdapat juga pendebat semacam ini, dengan kuasa yang terlalu luas diberikan kepadanya, telah memilih “aweknya” sendiri sebagai pendebat simpanan. Hmmm, nampaknya pertandingan debat dijadikan tiket kepada mentaliti kelas ketiga ini berbulan madu secara haram, dan menyuburkan aktivit rempit dan rempat di serata alam. Kejadian awek menjadi pendebat simpanan ini adalah satu kisah benar, yang berlaku sejak zaman berzaman. Pada generasi saya dulu, saya sudah melihat si BUZIR (bukan nama sebenar) yang menerbangkan aweknya sendiri ke pertandingan Debat Alam Sekitar 2000 di UNIMAS. Dari kala itu saya tertanya-tanya, dimanakah kewarasan pertimbangannya, akal atau nafsu? Hal ini masih berterusan berlaku hingga kini.. Lihatlah keliling anda dan pasti tidak sukar untuk anda melihatnya.

Saya tidaklah terkilan sangat dengan karenah pendebat tua yang sentiasa mengambil kesempatan ini. Apa yang menyedihkan, dimana peranan Penasihat dan pegawai universiti yang dilantik oleh setiap universiti untuk mengawal selia program pembangunan debat di universiti masing-masing. Jangan katakan kepada kita bahawa terdapat universiti yang tidak mempunyai pegawai yang menjaga hal ehwal debat?! Kalau mereka boleh memenuhi keahlian MADUM, apakah mereka tidak sedar peranan di rumah sendiri? Kalau saban pertandingan kita melihat ramai sahaja pegawai universiti yang hadir mengiringi pasukan mereka ke pertandingan debat, apa yang dilakukan oleh pegawai sebegini setelah para pendebat mereka kembali ke kampus? Saya cuma menyuara rasa sedih dan terkilan bagi segelintir yang ingin berkongsi rasa terkilan bersama saya, bahawa terdapat ramai pegawai universiti yang tidak pernah terlalu mengambil pusing tentang perkembangan debat di universiti mereka. Tidak menghairankan, kerana mentaliti sebahagian besar pegawai kerajaan yang gemar bekerja sambil lewa tetapi rakus kepada imbuhan yang besar. Sebahagiannya! Dan kebetulan sebahagian itu ada yang kebetulan menjadi pegawai pengiring pendebat universiti masing-masing ke pertandingan debat.

Ya! Pegawai jenis ini bukan sahaja jarang turun padang membantu latihan debat para pelajarnya, tetapi tidak tahu berbuat apa-apa. Tidak tahu merangka program pengisian minda untuk memperkasakan kualiti debat. Tidak tahu menyusun program yang sudah diatur. Tidak tahu bila waktunya budibicara perlu digunakan untuk memudahkan peruntukan disalurkan kepada pembangunan aktiviti debat. Tidak tahu bagaimana untuk mengambil tahu latihan khususnya menjelang pertandingan yang besar lagi berprestij seperti Debat Diraja. Tidak tahu bahawa mereka perlu mengambil tahu tentang pemilihan pasukan, dan bahawa kanak-kanak pelajar tidak sewajarnya dilepaskan begitu sahaja dalam membina kredibiliti pasukan. Tidak tahu malu untuk melihat universitinya sentiasa diratah, dibaham, dicerca, dengan seteruk-teruknya menjelang pertandingan. Permintaan pendebat untuk mendapat kertas A4 pun menjadi sukar? Inilah jenis makhluk yang hadirnya ke dalam dunia debat seumpama cendawan selepas hujan, tetapi tidak menyumbang apa-apa melainkan menjadi semak samun sahaja. Yang menarik minat pegawai jenis ini ialah tuntutan bayaran lebih masa, atau elaun perjalanan sewaktu mengiringi pasukan yang bertanding. Atau berpeluang melancong dengan menaiki kapal terbang secara percuma. Menginap di hotel secara percuma, dan sesetengahnya menggunakan kesempatan malam hari untuk menyuburkan aktiviti rempit. Minat mereka supaya dilantik menjadi hakim agar boleh mendapat imbuhan daripada elaun hakim. Minat mereka kalau kebetulan takdir memberikan kemenangan kepada pasukan mereka, maka merekalah orang pertama yang berlagak seolah-olah mereka adalah arkitek kepada kemenangan dan kejuaraan itu. Mereka menjadi orang pertama yang tersengih mengejar “flash” kamera sewaktu wartawan membuat temubual dengan pendebat. Apabila balik ke universiti masing-masing, mereka akan terus membuat laporan kepada orang atasan, dengan gambaran yang cukup muluk, mudah-mudahan BOSSnya itu akan rasa terampu dan lantas menaikkan pangkatnya jika ada peluang. Apa yang mereka berhati-hati ialah jangan nanti ampuannya akan mengundang rasa geli geleman bossnya sahaja.

Satu ketika dulu sewaktu ekonomi negara meleset, dan banyak pertandingan debat yang tidak mampu membayar elaun kepada Hakim, atau elaunnya terlalu tidak berbaloi, tidak ramai pegawai yang berebut-rebut menjadi Hakim. Ramai yang menolak dengan pelbagai alasan apabila diminta oleh penganjur. Bahkan banyak universiti yang menolak daripada menganjur debat. Debat Diraja yang anda banggakan hari ini adalah satu contok klasik. Selepas Debat Diraja dianjurkan buat pertama kalinya di UIAM pada 1995, tiada lagi yang sanggup menganjurkannya pada tahun 1996. Akhirnya Debat Diraja terpaksa dimomokkan sebagai pertandingan dwi-tahunan sahaja. Terima kasih pada UiTM (dahulunya Institut Teknologi MARA) yang sanggup menganjurkan Debat Diraja pada 1997, walaupun hanya bersponsorkan “MAGGI” dan secawan “Nescaffe” dari NESTLE. Tahun 1998 juga tiada universiti yang sanggup menganjurkan Debat Diraja. Sekali lagi terima kasih kepada USM, yang sanggup bangkit menganjurkan Debat itu pada 1999 dan telah bekerja keras untuk mendapatkan tajaan bagi meneruskan debat yang amat berprestij itu. Hanya selepas tahun 1999, barulah Debat Diraja kembali kepada perancangan asal MADUM (sebagai acara tahunan). Pun begitu, Debat Diraja bagi tahun 2001, hanya diadakan pada tahun 2002, oleh UUM. Debat Diraja tahun 2002 pula disambut penganjurannya oleh UTM (cawangan Jalan Semarak, Kuala Lumpur). Tahun 2002 adalah satu-satunya tahun yang mana Debat Diraja telah dianjurkan 2 kali (iaitu untuk tahun 2001 dan 2002). Hakikat ini hanya menjelaskan bahawa kesukaran penganjuran debat pada waktu itu adalah tidak lain, kerana faktor himpitan kewangan. Universiti-universiti-universiti yang enggan menganjurkannya sehingga memaksa Debat Diraja dijadikan acara dwi-tahunan sejak 1995 hingga 1999, tidak boleh dipersalahkan, kerana ketiadan peruntukan, bahkan tidak ramai badan korporat yang tampil dan sanggup membantu. Sudah tentu penganjuran Debat Diraja pada ketika ini, adalah terlalu miskin dan tidak dapat membayar elaun-elaun hakim, dan kalau ada sedikit bayaran bagi perlawanan peringkat kalah mati, ianya tidaklah mengiurkan sangat kepada hakim-hakim yang dijemput menghakimi sesuatu perlawanan tersebut.

Tetapi hari ini, elaun hakim agak lumayan, khususnya bagi pertandingan debat yang ditaja khas oleh entiti kerajaan yang kaya seperti Jabatan Alam Sekitar, IKIM, Institut Intergriti dan macam-macam lagi. Debat Diraja masih kekal dengan penganjuran debat yang paling miskin kerana tiadanya penaja istimewa tersebut. Anda boleh bandingkan dengan jelas, rengusan pegawai universiti yang menjadi Hakim sewaktu Debat Diraja dengan riak ceria pegawai yang sama ketika menjadi Hakim pada debat-debat mewah yang lain. Jangan terkejut, jika ada sesetengah pegawai yang tidak pun kisah jika pasukannya kalah pada pusingan awal atau suku akhir, kerana dengan kekalahan pasukannya sendiri akan membuka ruang kepada beliau untuk dilantik menjadi Hakim bagi peringkat separuh akhir mahupun akhir. Telinga dan mata saya menyaksikan secara langsung kegembiraan seorang pegawai universiti dari Lembah Klang, yang gembira kerana pasukannya tumpas terlebih awal beberapa tahun yang lalu, tetapi alhamdulillah pegawai itu sudah tidak lagi menjadi pengiring pasukan debat universiti berkenaan. Kegembiraan yang amat ironik itu, sudah tentu disebabkan oleh elaun bagi pertandingan akhir dan separuh akhir akan lebih lumayan daripada elaun pusingan awal. Bagi mereka yang hanya berupaya mencium bau wang di hujung bulan, sudah tentu akan sentiasa merebut peluang keemasan seperti ini untuk mendapat wang saku yang lebih! Apakan daya!

Sudah tentu tulisan seperti ini tidak akan digemari oleh ramai pegawai universiti. Dan mungkin ada yang akan mengambil peluang untuk menyatakan bahawa saya sengaja membesar-besarkan tuduhan dan fitnah yang tidak berasas ini. Terpulanglah! Hakikatnya sesiapa yang makan cili, dialah yang rasa cabainya! Sudah tentu ramai yang akan mempertikaikan autentikasi penulisan ini. Dikala itu, dari kalangan mereka dan sesama mereka cuba menunjukkan bahawa merekalah yang paling ikhlas dalam perjuangan debat universiti masing-masing. Terkadang saya keliru, kenapa universiti-universiti yang mempunyai pegawai yang pernah menerima “Anugerah Hakim Kelas Tertinggi MADUM” boleh membiarkan pendebat universiti meracau-racau seolah-oleh terkena histeria sewaktu berdebat? Jika pegawai berkenaan layak menerima Anugerah Hakim Kelas Tertinggi MADUM, apakah ilmu dan kepakaran dalam debat itu tidak mampu diterjemahkan kepada mentaliti debat para pendebatnya! Melainkan Anugerah Hakim Kelas Tertinggi MADUM adalah satu anugerah politik ahli-ahli veteran semata-mata, untuk sama-sama mengampu dan membodek sesama mereka. “Politik kawan-kawan, tahun lepas kau dapat, tahun ini aku punya”. Tidak hairan juga, saya pernah melihat pegawai universiti yang pernah berdebat sezaman dengan saya, yang tidak punya nama, yang sentiasa terketar-ketar setiap kali berdebat, tetapi kini adalah antara Hakim Kelas Tertinggi MADUM! Tetapi universitinya jarang menang, malah sentiasa merudum!

Saya tidak menafikan kaliber dan kredibiliti Hakim-Hakim Kelas Tertinggi MADUM yang sememangnya layak. Yang layak itu layaklah! Sudah tentu insan-insan seperti En. Nazri Noh (UPM), En. Norzu Ismail (USM), En. Fuad Othman (UUM), En. Fauzi Othman (UTM), dan lain-lain ahli veteran yang telah lama berkecimpung dalam dunia debat, wajar mendapat penghargaan itu dan kita hendaklah berbangga kerana mereka masih setia mendokong seni intelek ini. Tetapi mereka ini tidak lagi menjadi “pemain yang aktif” dalam MADUM. Kenaikan pangkat dan pertukaran portfolio di universiti masing-masing telah menghadkan peranan mereka dalam dunia debat, walau pun mereka juga sering muncul, seperti saya, dalam pertandingan-pertandingan debat antara universiti. Era kegemilangan USM dibawah pimpinan En. Norzu pada 1995 hingga 1998 sehingga USM muncul sebagai satu-satu universiti yang menang Debat Alam Sekitar tiga tahun berturut-turut dan lantas diberikan penghormatan untuk menyimpan piala itu, serta En. Nazri Noh (sekadar menyebut beberapa contoh) yang berjaya meletakkan UPM sebagai antara pencabar yang paling unggul dalam perdebatan di Malaysia pada sau ketika antara tahun 1998 hingga 2002. Malangnya kini, para pengganti, bahkan antara “pemain” veteran yang masih aktif dalam MADUM (walau pun satu ketika telah meletakkan jawatan, tetapi kini dengan tidak malunya cuba mendapatkan kembali peranan utama melalui jawatan itu – dalam MADUM) kini sudah semakin menjadi liabiliti kepada pasukan debat universiti mereka!

Apa pun tanggapan pembaca, saya menulis sebuah realiti yang telah lama ingin saya tulis. Tetapi tiadanya tertulis! Takut nanti tidak tertulis keresahan ini. Anda tentu tidak akan menulis keresahan anda, kerana anda terikat dengan universiti sendiri. Oleh itu, izinkanlah saya yang menulisnya! Anda pasanglah telinga, bukalah mata seluas-luasnya.. lihatlah realiti alam yang sebenar dalam dunia debat, dalam MADUM! Dengan sebab itu jangan hairan jika pada Debat Diraja kali ini peraturan MADUM makin menggila. Khabarnya sistem kuarantin diperketatkan lagi, tak boleh bawa handphone ke bilik perbincangan, ke meja pertandingan. Bahkan tuan rumah akan dikenakan sekatan yang lebih ketat, akan diwujudkan pasukan pemantau untuk mengawal selia pergerakan Tuan rumah. Tuan Rumah siang-siang lagi dicabut kuasanya dari campurtangan dalam urusan teknikal hakim. Maklumlah tuan rumah selalunya banyak kelebihan! Wauuu! Saya terkejut melihat perkembangan ini? Saya agak berminat untuk mengenali dari kalangan pegawai MADUM yang mencetuskan idea songsang seperti ini! Dan saya berhajat untuk mengetahui bagaimana cadangan ini disalah representasikan supaya yang lain bersetuju dan melaksanakannya! Ya! Saya katakan idea ini songsang, dan saya sememangnya maksudkan ianya sebagai songsang. Tiada kiasan, tiada double meaning, melainkan SONGSANG! Sesat dan menyesatkan!

Walau pun ramai yang boleh menerima sistem kuarantin, kerana barangkali untuk mengelakkan ketidakadilan kepada pasukan yang tidak mempunyai penyokong yang ramai, sehingga mencecah 2 buah bas, yang boleh bertindak sebagai pasukan pencari maklumat! Barangkali untuk mengelak keresahan pasukan yang tidak mempunyai panel kejurulatihan, atau yang punyai jurulatih tetapi kehadiran dan kualiti minda jurulatih mereka hanyalah menyumbang kepada keletihan pasukan. Dalam apa keadaan pun, jika saya boleh memilih, saya masih memilih supaya pendebat-pendebat bebas berbincang dengan sesiapa sahaja sewaktu perbincangan 30 minit menjelang pertandingan. Benar, saya pernah menulis mengkritik sebuah pasukan yang muncul sebagai Johan dengan pertolongan jentera pencari fakta seramai sebuah bas, atau seumpama memindahkan perpustakaan universiti itu ke gelanggang pertandingan, tetapi saya tidak sama sekali berpendirian bahawa kebebasan itu perlu diragut. Saya menghujahkan pada ketika itu, bahawa pasukan yang mempunyai keistimewaan sebegini akan termalu sendiri dan mengalami pengaiban yang besar sekiranya tumbang lebih awal.

Anda boleh untuk tidak bersetuju dengan saya, kerana kita adalah generasi pendebat! Tetapi izinkan saya tegaskan bahawa untuk apa kita takutkan kebebasan perbincangan, gerombolan pencari fakta yang ramai. Saya percaya, jika kita ingin menjadi Juara, atau mempunyai karakter debat yang bertaraf Juara, kitakan mampu melakukannya walau pun tanpa suapan orang luar pasukan. Karakter pendebat yang bertaraf juara tidak akan rimas dengan pasukan lawan yang mempunyai sekandang pencari fakta! Kerana pendebat yang baik adalah yang berpengetahuan tinggi dalam apa juga isu, apa juga usul. Jika anda masih bimbang dengan diri sendiri, percayalah anda masih belum layak untuk muncul sebagai Juara, bahkan tidak pun layak mewakili universiti. Saya telah habiskan ribuan minit untuk mengharungi setiap 30 minit menjelang pertandingan, sebagai pendebat, sebagai Jurulatih! Kepercayaan saya ialah bilamana terlalu ramai yang ingin turut berkongsi berbincang sewaktu 30 minit terakhir, anda akan mengundang kehancuran kes pasukan sebelum berada di pentas pertandingan. Jika terlalu banyak fakta disuap, apalagi jika anda tidak memahami fakta tersebut, akan hanya mengundang musibah tentang kehancuran struktur perdebatan, penerangan fakta kes, kematangan berhujah dan kelihatan seperti mesin keropok yang hanya tahu memuntah kembali apa juga yang dimasukkan. Sudah tentu seni bujukan tidak akan muncul. Anda akan gagal memikat juri.

Apa yang ingin dirisaukan dengan 30 minit itu? Melainkan anda adalah pendebat yang pemalas, yang bengap, yang tidak pernah berusaha untuk membina legasi debat yang lebih gemilang. Masa 30 minit itu, jika pun anda menelefon Pak Lah atau Nor Mohamed Yakop (Menteri Kewangan 11) bilamana berbicara tentang RMK-9, berbicara dengan Kofi Annan bila bercakap tentang PBB atau isu-isu antarabangsa, atau berkongsi maklumat dengan Abdul Razak Baginda tentang halatuju politik serantau, atau Rafidah Aziz tentang perdagangan bebas… sudah tentu tidak berguna kerana ia akan mengelirukan anda, membazirkan masa yang amat singkat itu! Masa 30 minit hanyalah untuk membina pendekatan kes SAHAJA! Hanya pendebat yang sepatutnya tahu bagaimana usul mereka harus dibentangkan. Hanya satu dua jurulatih sahaja yang wajar dibenarkan menyertai perbincangan itu.. Tidak boleh semua orang, tidak perlu semua penyokong, semua jurulatih, semua pegawai menyertai perbincangan itu. Kerana 30 minit itu adalah emas! Kerana selebihnya adalah pisau yang bakal menyembelih kerongkong sendiri!

Saya melihat tindakan mengenakan kuarantin yang terlalu ketat, pemantauan pasukan Tuan rumah yang oleh pihak ketiga, larangan handphone adalah satu tindakan ke belakang yang hanya akan mengembalikan budaya rimba. Mentaliti Tarzan sudah lama kita tinggalkan! Dunia kini bercakap tentang persaingan yang lebih terbuka, mencabar, dan dengan itu diharap dapat membina kualiti modal insan yang lebih gemilang. Bukankah kebebasan itu akan memperkasakan minda pendebat sewaktu bertarung. Kalau sesebuah pasukan itu terlalu lemah, maka selayaknya dia dibelasah dengan teruk oleh lawan yang cerdik. Dan dengan itu, dapat memberi peluang kepada si lemah untuk belajar dari si cerdik. Itu pun kalau sibengap dan si bongok itu belajar sesuatu, dan bukannya menghambur perasaan tidak puas hati kepada hakim setiap kali kalah! Pengajaran sedemikian sudah tentu akan berguna kepada si lemah, kerana janganlah kamu malas membaca, malas berlatih, malas berbincang, kerana sikap sedemikian akan mengekalkan kamu dalam kepompong kebodohan sepanjang zaman! Seumur hidup.. Sepanjang hayat! Bahkan, yang dianggap cerdik pun masih berhujah bahawa KLCC bukanlah satu infrastruktur kelas pertama, masih membidas rakan sepasukan sendiri, serta masih menganggap bahawa “sekolah memandu” adalah sebahagian dari sistem pendidikan di Malaysia.

Jika pasukan tuan rumah hendaklah dikawal selia oleh pihak ketiga, maka siapa pula pihak ketiga itu? Pegawai-pegawai universiti lain bukanlah pihak ketiga, kerana mereka adalah “interested party” dalam pertandingan tersebut. Keseluruhan anggota MADUM juga bukan pihak ketiga! Jika tuanrumah langsung dihalang dari mengawal selia teknikal penghakiman, maka siapa yang menguruskannya? Sudah tentu satu dua orang yang sama sejak perang Jepun sehingga dunia globalisasi! Apakah mereka ini terlalu hebat? Ya! Dari kalangan 2 itu, seorangnya memang pakar dan memang hebat. Dan memang merupakan bekas pendebat. Seorang pegawai ini mengendalikan sistem “power match” secara sendiri. Tetapi yang seorang lagi buta komputer, banyak kerja teknikal dibuat oleh budak-budak hingusan dari universitinya, yang selalunya hadir sebagai penyokong. Si dia ini di depan khalayak bercakap banyak, selalu memegang mikrofon di pentas sewaktu sesi taklimat atau pengumuman carta dan usul, seolah-olah dialah yang buat semua, tetapi ramai yang tidak sedar si dia ini hanya tahu mencuri kredit kerja orang lain semata-mata! Tetapi itu tidak penting, yang penting ialah kenapa tradisi tuanrumah selaku Ketua Hakim dan Ketua teknikal pertandingan diragut dengan begitu ganas oleh satu dua orang yang berselindung di sebalik topeng MADUM. Teruk sangat ke pegawai UNIMAS? Bagaimana anda boleh mengukur mereka teruk jika anda tidak bersedia memberikan mereka peluang? Habis tu, jika tiada bakat baru layak muncul, maknanya sampai kiamat la kita terpaksa bergantung harap pada orang yang sama (yang sebenarnya takde la reti sangat!!), dan orang yang sama itu akan terus tunjukkan kuasa, kononnya semua mesti ikut MADUM, tapi nampak gaya dalam MADUM tu dia sorang saja yang rakus. Tidak hairanlah kalau dulu ada yang letak jawatan dari teknikal MADUM, tetapi tersengih-sengih kembali menuntut jawatan itu, dan berlagak seperti dialah yang ampunya MADUM. Yang lain tu malas nak layan.. Mungkin! Apakah dikalangan pegawai MADUM itu ada wajah-wajah selain wajah yang biasa kita lihat? Apakah mereka itu pihak ketiga yang profesional yang tidak punyai kepentingan? Berselindung di sebalik nama MADUM untuk terus merintis setiap inci ruang untuk memberi kelebihan kepada pasukan sendiri. Orang yang sama telah membawa balik “score sheet” hingga ke hotel sewaktu Debat Alam Sekitar satu ketika dulu (tahun?). Pegawai universiti yang sama telah tergesa-gesa membawa balik keseluruhan kertas markah dan carta kedudukan secara tergesa-gesa untuk mengelak penganjur Debat Intergriti (tahun?) mendapatkan salinan untuk disiarkan melalui laman web AD. Kalau score sheet dah sampai hotel, almaklumla.. semua benda boleh buat! Kalau kita masih berbangga untuk membiarkan diri terus ditunggangi, silakan! Tetapi mohon izin untuk saya berkecuali…

Benar! Langkah kuarantin adalah langkah kebelakang. Ia mungkin boleh dilihat sebagai maju ke depan, kerana wujudnya perubahan. Tetapi kini kita berdepan dengan cabaran yang lebih terbuka. Bukankah keterbukaan dan pertarungan yang sengit akan melahirkan kader debat yang mempunyai daya tahan? Walau pun sesetengah universiti boleh membawa berbas-bas penyokong, berkandang-kandang jentera pencari fakta, tetapi anda lihatlah dengan teliti.. Apakah semua pasukan yang mempunyai jentera pencari fakta yang unggul itu berjaya meraih kejuaraan. Universiti Malaya adalah pasukan paling unggul bagi tahun 2006. Saya yakin UM akan menggondol Anugerah Pasukan Terbaik MADUM bagi tahun ini kerana keupayaan UM untuk menggondol satu kejuaraan, dan dengan konsistennya menjadi Finalis bagi tahun 2006. Tetapi tidak pula kelihatan UM dengan jentera fakta yang ramai. Tidak pula kita dapat mengimbas UM dengan berbas-bas penyokong, melainkan sewaktu mereka menjadi tuanrumah. Tetapi UM tetap unggul, dan kembali meletakkan diri mereka sebagai kuasa debat yang unggul dan digeruni, di samping kekal sebagai pasukan yang sopan, menghormati lawan dan tidak berlagak besar! Walau pun berjaya mengisi semua pertandingan akhir tahun 2006, pendebat UM masih merendah diri seperti sewaktu mereka di ambang kegelapan. UM tidak mengheboh kepada satu dunia bahawa pada tahun 2006, mereka muncul sebagai satu-satunya pasukan yang berupaya menjadi Finalis! Mungkin mereka tidak mengangap itu sebagai “Fakta Menarik” pun! Malangnya terdapat satu pasukan yang menganggap satu “fakta menarik” dan berbangga dengannya, serta terus menyuburkan keangkuhan tentera-tentera semutnya, hanya apabila mereka berupaya berada pada “carta teratas” liga, sewaktu berakhirnya pusingan awal pertandingan dalam beberapa pertandingan debat. Sungguh menggelikan! Oleh kerana tiada lagi koleksi kebanggaan, maka berada pada carta teratas pun dibanggakan oleh minda kelas ketiga ini. Disiarkan kebanggaan itu ke seluruh dunia. Ha ha, saya terjenak sekejap memikir apakah itu satu kebanggaan, yang harus dengan bongkaknya dihebahkan kepada dunia???!***&&?! Apakah berada pada carta teratas itu sama taraf dengan Johan pertandingan?! Kalau pun kita layak berbangga dengan rekod sebegitu, layakkah kita berbangga di depan khalayak? Kegagahan dalam selimut, cerita dalam kain walau sebesar mana pun saiz yang kita miliki, wajarkah itu dihebahkan kepada dunia dan berbangga dengannya? Sedangkan prestasi dan mutu “persembahan” kita masih menjadi persoalan? Tetapi minda kelas ketiga masih mempertuhankannya! Maka teruskanlah..

Nampaknya semakin tersasar jauh tulisan ini. Tetapi ketersasaran ini memang disengajakan. Ia sememangnya diolahkan sedemikian untuk menyampaikan mesej tertentu bagi yang faham dan ingin menerima. Berbalik kepada prestasi UM sebentar tadi, saya katakan UM masih gagah dan semakin perkasa tanpa kehadiran penyokong-penyokong mahupun tentera-tentera semut yang ramai. Saya juga sentiasa melihat banyak universiti yang mempunyai penyokong dan pencari fakta yang ramai, tetapi prestasi pasukan mereka tidak kemana. Mereka tetap lemah walau pun disuapkan oleh jurulatih-jurulatih yang dianggap hebat! Oleh itu apakah sistem kuarantin ini akan memberikan kelebihan buat mereka? Maka saya ingin menyimpulkan, di mana waras dan wajarnya sistem kuarantin ini di kembalikan. Jika ada sesebuah universiti atau pendebat yang resah dan tidak berpuas hati, maka salah siapa? Jika universiti itu tidak mempunyai penyokong, maka pendebat-pendebat atau pegawai universitinya hendaklah cerminkan diri tentang apa yang sudah disumbangkan kepada universiti masing-masing dalam membangunkan bakat debat, dan peminat debat. Hanya peminat debat sahaja yang akan menjadi penyokong tulen yang sanggup membantu mencari fakta kepada sesebuah pasukan. Jika kita bising diruang maya kerana tidak berpuas hati sesuatu pasukan itu mempunyai ramai penyokong, atau pakar “research”, lihatlah diri apa yang telah kita lakukan! Untuk universiti sendiri, untuk diri sendiri! Apakah kita hanya jenis pendebat yang hanya pentingkan diri, yang menggunakan ruang untuk mewakili universiti dalam pertandingan debat, hanya untuk berjalan-jalan, bersiar-siar dan tunjukkan glamour sahaja. Lebih teruk lagi jika kita berjawatan dalam kelab debat kita, apakah sumbangan kita?

Pada semua masa yang matan, saya masih berpendirian bahawa sistem kuarantin adalah tidak perlu. Kebebasan yang diberikan sejak Debat Diraja diperkenalkan (kecuali dalam tempoh tertentu dan pertandingan tertentu), ternyata telah melahirkan ramai graduan pendebat yang berbakat besar dalam negara ini. Dan telah menyediakan satu legasi acuan debat yang sangat mencabar minda, dan berupaya pula melahir produktiviti pendebat yang sama-sama kita banggakan. Hanya persaingan terbuka sahaja yang mampu melahirkan generasi pendebat yang hebat, sekalipun terpaksa melalui dunia debat dengan penuh keperitan! Janganlah pula kita takutkan bayang-bayang sendiri. Sistem kuarantin, jika pun kita memilih untuk mempertahankannya, tidak akan memberikan kita satu manfaat pun, dalam konteks menjana kualiti minda pendebat yang unggul. Ia akan melemahkan kita. Ini bukan debat peringkat sekolah! Hari ini kita mungkin puas kerana pasukan yang ramai penyokong, jentera pencari maklumat pun, akan sama-sama bodoh berdebat dengan kita. Padan muka mereka! Mungkin itu kepuasan kita. Tetapi ingatlah, kepuasan itu hanya sementara! Kualiti minda tidak akan tercabar kalau kualiti fakta, kualiti pendekatan, kualiti bidasan, kualiti gulungan, tidak dicernakan dengan baik. Jika kita masih bongok dalam dunia terbuka, apakah kita akan lebih cerdik dalam kepompong sendiri yang sempit. Biarkanlah fakta-fakta yang banyak dapat diterbangkan ke meja pertandingan, tetapi akhirnya hakim akan memilih pemenang berdasarkan daya bujukan. Daya bujukan hanya akan muncul apabila kualiti debat dipertahankan. Kualiti debat akan terjelma dengan pengetahuan dan asas maklumat yang pelbagai. Kepelbagaian maklumat lahir dari kepelbagaian sumber. Sumber yang pelbagai lahir dari minat yang pelbagai. Setiap kita tidak mempunyai minat yang banyak! Oleh itu segala minat dan kecenderungan itu perlu disatukan, oleh pelbagai individu. Di situlah terjananya semangat berpasukan!

Apapun, saya berharap peraturan ini tidak dijelmakan oleh MADUM semata-mata kerana terdapat satu dua universiti, yang mula resah dengan kualiti dan kelembapan minda pendebat mereka sendiri, yang semakin merosot, semakin memualkan, lantaran kekuatan dan tunjang kejurulatihan mereka tidak lagi dapat bertahan dan bersubahat dengan nasjis korupsi dan pecah amanah! Lantas, peraturan kuno ini dikembalikan dengan harapan dapat menghalang bekas tunjang kekuatan yang telah “lari” itu akan muncul membantu dan berkongsi ilmu serta pengalaman dengan universiti-universiti lain. Sudah tentu jiwa debat yang hilang itu masih utuh, penuh semangat untuk meningkatkan mutu debat di Malaysia. Jiwa-jiwa yang kental itu akan sentiasa muncul, di gelanggang yang memerlukan mereka. Jiwa-jiwa itu, dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut akan menjadi Pulau, apalagi digamit ke gelanggang debat, warisan pencak yang telah lama mereka buktikan keupayaannya! Dalam 1 – 2 tahun lagi, akan muncul kuasa debat baru yang akan mengambil alih populariti mereka. Itu ketakutan sesetengah mereka! Ketakutan yang maha besar, kerana mereka semakin ketiadaan pelapis! Selepas munculnya hari graduasi “kuda-kuda tua” yang masih mereka miliki, maka akan hancurlah kuasa debat yang kini sudah mula melewati senja. Tiada fajar lagi buat mereka! Dentuman kiamat telah pun lama bermula! Tunggulah, sehingga Dajjal turun ke dunia..

Akhirnya saya berjaya menulis keresahan ini… dengan penuh resah! Melihat dunia debat yang semakin dicemari oleh sesetengah manusia yang tidak pernah tahu menjaga amanah. Yang sentiasa mengintai peluang untuk terus mengganas, melalui pelbagai topeng. Amanah selayaknya dipegang oleh insan yang sentiasa mengutamakan solat! Jika amanah diberikan kepada yang enggan solat, walau pun putih kulit mukanya, walau pun sentiasa hadir dalam majlis-majlis solat hajat, walau pun sentiasa menganjurkan majlis berbuka puasa setiap tahun, walau sentiasa menunjukkan kepada orang bahawa tangan kanannya sentiasa memberi di sebalik tangan kirinya yang sekilas pencuri.. Tetapi semuanya itu tiada ibadah, kerana solat itu adalah tiang agama.

Sabda baginda s.a.w(mafhumnya): “Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mendirikannya, maka ia mendirikan agamanya! Sesiapa yang meninggalkannya, maka hancurlah agamanya!” (au kama qal…)

No comments:

Post a Comment